“Kita ni bisnes pun mengharapkan sokongan orang melayu, mana mungkin saya maki orang melayu”.

Demikian kata Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel mengenai posting yang dibuat oleh akaun facebook Nor Lizah dan Dato Sri Muzaffar Shah yang kononnya ‘menyebelahi’ Jakel dan menghina kaum melayu.

Tambahnya lagi, beliau tidak mengenali dua pemilik akaun tersebut dan percaya bahawa posting dari kedua-dua akaun tersebut sengaja memfitnah Jakel dan menanam perasaan benci orang ramai.

Mohamed Faroz turut menafikan pemilik akaun facebook bernama Nor Lizah mempunyai kaitan dengan syarikat tekstil mahupun rangkaian syarikat itu.

norlizah3

muzaffar1

“Saya ingin menegaskan sekeras-kerasnya bahawa Nor Lizah (pemilik akaun facebook Nor Lizah) tiada kena-mengena dengan keluarga Jakel, mahupun rangkaian Jakel.

Saya tidak mengenali individu ini dan tidak sesekali pihak pengurusan Jakel atau adik saya sendiri buat kenyataan maki hamun orang Melayu.

“Tidak masuk akal, kita ini berniaga mengharapkan orang Melayu, kalau kita fikir secara waras, kita ini sudah tutup kedai 45 hari, baru nak buka balik, banyak kerugian kita alami, takkan kita nak gaduh dengan pelanggan dengan kata-kata kesat dengan memaki hamun.

“Malah pihak Jakel juga telah membuat laporan polis ke atas individu bernama Nor Lizah dan hari ini kita buat satu lagi laporan polis kepada pemilik Instagram bernama Nor Lizah, kononnya wakil Jakel, memaki hamun Melayu lagi.

“Sudahlah kita mengalami masalah besar, di mana orang Melayu nak boikot Jakel, takkan lah semalam kita keluar kenyataan maki lagi orang Melayu, tak masuk akal sama sekali,” katanya dalam satu sidang media di Wisma Jakel hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Faroz tidak menolak kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab yang didalangi oleh  mereka yang tidak senang dengan kejayaan Jakel dalam industri tekstil sengaja memperbesarkan dan mengambil kesempatan terhadap isu adiknya itu untuk menjatuhkan pihak syarikat.

Ahad lalu, Muzaffar Jakel didakwa menghina orang Melayu ketika menjawab pertanyaan pengguna media sosial mengenai prosedur operasi standard Jakel kembali beroperasi pada Isnin susulan pengumuman Putrajaya.

Ramai yang marah dan mempertikaikan tindakan Jakel menyambung semula operasi, selepas catatan Muzaffar “Kesian aku dengan orang Melayu. SOP tu bahasa Melayu pun tak pandai baca” di IG Stories miliknya pada 1 Mei lalu. -KL Broadcast