Kluster baharu pengawal keselamatan yang didedahkan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam jelas menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Justeru kerajaan mewajibkan pekerja asing di semua sektor menjalani saringan kesihatan Covid-19 iaitu ‘swab test’ untuk mencegah penularan wabak pandemik itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia meliputi semua sektor, sama ada komersial, kilang, pembinaan, kedai makan dan sebagainya sebagai langkah pencengahan.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah kontak terdedah risiko dijangkiti Covid-19 terlalu ramai.

“Pengawal keselamatan ini mempunyai hubungan kontak yang begitu ramai terutama kalau jaga pusat membeli-belah misalnya, mereka yang akan check suhu badan kita sebelum masuk.

“Jadi tentu hubungan terlalu banyak, lebih-lebih lagi mereka (pengunjung) yang masuk dalam supermarket atau pusat membeli-belah tidak didaftarkan, jadi sukar buat pengesanan,” katanya pada pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.