Ingatkah anda pada tahun 2015 dulu kecoh di laman sosial apabila seorang pakar motivasi memberi saranan agar warga kota jangan pulang berhari raya di kampung halaman pada Hari Raya?
Saranan itu dibuat oleh Syed Abdul Aziz Al-Qubra, ketika ditemu ramah pada slot Celik Kewangan bagi program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan RTM pada Khamis yang membincangkan isu bertajuk Gaji oh Gaji.
Beliau memberi saranan dan cadangan tentang apa yang boleh dilakukan rakyat untuk berjimat dalam keadaan ekonomi tidak menentu pada waktu itu.
Katanya, langkah tidak balik kampung untuk beraya tahun itu juga boleh menjimatkan perbelanjaan kerana tidak perlu mengeluarkan duit minyak, tol, dan menyewa hotel.
Beliau turut menyarankan agar rakyat Malaysia tidak terikut dengan trend masyarakat di mana kebanyakannya gemar membeli-belah dan bercuti di musim perayaan.
“Sekarang minyak naik, kadar tol pun dikatakan akan meningkat, saya sarankan kita semua supaya beringat, ia mungkin menyusahkan bagi sesetengah individu, Jika balik kampung terasa terbeban dengan terdesak dan rasa dibebankan untuk tunjuk barang kemas baharu atau kereta baharu, saya sarankan lebih baik jangan balik kampung, tol dan minyak pun dapat dijimatkan.
“Kita semua tahu pulang ke kampung memerlukan belanja yang besar. Kalau balik masa tengah tidak ada duit atau gaji belum masuk, itu lebih susah.
“Sekarang ini, setiap hari kira-kira 56 individu di negara ini diisytiharkan muflis. Saya tidak mahu anda salah seorang daripada individu yang diisytiharkan muflis,” ujarnya.
Di laman sosial yang pada ketika itu warga internet dengan gelaran ‘makcik bawang’ (sebelum Jabatan Netizen muncul pada 2020), netizen ternyata naik angin dengan kenyataan tersebut.
Kebanyakan mereka menghambur rasa tidak puas hati dan menyifatkan cadangan itu sebagai tidak masuk akal.
Mereka menganggap, musim perayaan adalah masa untuk bersama keluarga dan cadangan agar tidak pulang ke kampung semata-mata untuk berjimat adalah tidak munasabah.


Dan kini, pada tahun 2020 menyaksikan apa saranan jangan balik kampung yang dibuat oleh Syed Abdul Aziz Al-Qubra nampaknya ‘menjadi kenyataan’ kerana pandemik yang sedang berlaku di seluruh dunia, iaitu COVID-19.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung ketika cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan.
Beliau berkata, majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang membabitkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan. Pergerakan untuk hari raya antara daerah masih tidak dibenarkan kerana ia masih disenaraikan dalam perkara yang dilarang kerana kerajaan tidak mahu berlakunya ‘kluster hari raya’.
Jadi sama-sama lah kita jangan ke mana-mana semasa hari raya Aidilfitri ini dan berhuhu lah di rumah.
Bak kata Syed Abdul Aziz Al-Qubra, “kalau tak balik kampung, tol dan minyak pun dapat dijimatkan”. -KL Broadcast