IPOH: Lebih 50 wakil dari Persatuan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri (NGO) Kaum India Perak menggesa kerajaan negeri melantik seorang wakil dari parti MIC bagi menyelaras hal ehwal kaum India di negeri ini.
Pengerusinya, Dr. V. Jayabalan berkata, pelantikan wakil itu penting bagi memastikan keperluan dan kebajikan masyarakat kaum itu di negeri ini terbela dan tidak tercicir.
“Parti MIC adalah parti politik yang tersusun organisasinya dengan keahlian dianggotai majoriti daripada kaum India di negara ini.
“Sejak kemerdekaan, parti ini sudah memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kepentingan kaum India dalam aspek sosial ekonomi dan politik,”ujarnya kepada pemberita ketika menyerahkan memorandum mengenai pelantikan penasihat dan Pegawai Khas Kaum India dalam Kerajaan Negeri Perak kepada Menteri Besar Perak.
Memorandum itu diterima wakilnya, Penolong Pegawai Tadbir di Pejabat Menteri Besar, Asad Safwan Mazlan di hadapan pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Katanya lagi, kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) sehingga ini tidak mempunyai wakil dari kaum India.
“Kami memohon Menteri Besar Perak mempertimbangkan perkara ini kerana jika tidak ada wakil dari masyarakat India tempatan masalah yang dihadapi oleh kaum itu tidak akan selesai.
“Contohnya, seperti di kawasan Buntong dan Kampung Simee yang majoritinya terdiri daripada masyarakat India,”katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengedar Surat Khabar India Negeri Perak, P Karthikesan berkata, peranan MIC penting sebagaimana sebelum ini parti itu yang bergerak bersama-sama dalam menangani pelbagai masalah dan isu kaum India.
“Cadangan kami ialah melantik wakil dari parti MIC yang mempunyai pengalaman yang cukup banyak selain MIC sudah bersama dengan parti komponen yang lain dalam negara sejak 60 tahun lalu.
“Pemimpin MIC juga memahami kehendak akar umbi masyarakat India dalam membendung dan menangani masalah masyarakat India,”katanya. -Perak Today