KUALA LUMPUR – Sinar baharu buat bekas banduan, bakal mendapat peluang pekerjaan menerusi program I-Kembali: yang merupakan hasil inisiatif sebuah badan bukan kerajaan, Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak).

I-Kembali adalah program kerjasama antara Jabatan Penjara dan Pergak dengan menawarkan program penempatan kepada bekas banduan dan penagih dadah untuk membantu mereka mendapat pekerjaan dalam 6 sektor, iaitu pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian, pemasaran dan pengurusan.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Siti Murni Datuk Seri Sheikh Ahmad, objektif program tersebut untuk membantu bekas banduan mendapat pekerjaan sebaik sahaja mereka dibebaskan daripada penjara.

Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak),
Datuk Seri Siti Murni Datuk Seri Sheikh Ahmad

“Kita akan memadankan bidang pekerjaan berdasarkan minat, kebolehan dan kemampuan seseorang bekas banduan. Banyak syarikat amat memerlukan pekerja baharu terutama individu warga tempatan”, katanya.

Beliau berkata, bukan mudah bagi bekas banduan mencari pekerjaan kerana sebahagian syarikat bimbang untuk menggaji mereka.

Perkara seperti itu, katanya akan menyebabkan bekas banduan putus asa dan kembali ke kehidupan lama mereka.

“Akhirnya, mereka mungkin kembali ke penjara sekali lagi. Ini yang kita mahu cegah,”

“Secara peribadi, bagi saya program I-Kembali perlu disokong terutama dalam memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan. Bantu lah kami untuk memberu peluang kepada bekas banduan mendapatkan pekerjaan, pilih lah rakyat tempatan berbanding warga asing,” katanya.

Mengulas mengenai bekas banduan yang terpilih untuk menyertai program I-Kembali , Siti Murni berkata kesemua peserta dilihat gembira dan memberi reaksi positif terhadap tawaran pekerjaan yang diberikan kerana ingin berusaha mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.

“Kami harap masyarakat dapat menerima bekas banduan ini dan memberi peluang kepada mereka untuk berubah,” katanya.

Peserta yang berjaya mendapat pekerjaan turut dipantau oleh PERGAK dan Jabatan Penjara Malaysia. -KL Broadcast

Bekas banduan yang terpilih akan melalui satu proses saringan ketat di Ghullam Recovery Care Centre (GRCC) sebelum ditempatkan di sektor pekerjaan mengikut kesesuaian dan minat bekas banduan berkenaan.
I-Kembali program kerjasama antara Jabatan Penjara dan Pergak