SEKINCHAN – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mahu Barisan Nasional (BN) berpegang teguh dengan pendirian meletakkan calon dari parti itu bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, keputusan itu diambil secara sebulat suara UMNO bahagian itu meskipun kerusi itu dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14 lalu.
“Saya sendiri akan mewakili BN bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar bagi memastikan parti ini tidak terkubur.
“Saya sudah menghantar nama calon mewakili BN dan bersedia menentang calon daripada Bersatu di Parlimen berkenaan”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Liputan Sesi Ulasan Restoran Ikan Bakar Sekin Fisherman Village Hotel and Resort, pada Ahad.
Pada PRU14 lalu, calon Parti Bersatu, Muslimin Yahaya memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar selepas mengalahkan calon BN, Budiman Mohd Zohdi dan calon Pas, Salleh Husin.

