Gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara, Indonesia kembali meletus pagi tadi, ia mengeluarkan abu dan asap berwarna kelabu setinggi kira-kira 5,000 meter.

Menurut kenyataan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Geologi Indonesia, letusan gunung Sinabung yang berketinggian 2,451 meter itu berlaku pada pukul 6.42 pagi waktu Indonesia Barat dan asap serta abu itu menghala ke arah timur serta tenggara pulau Sumatera dan boleh dilihat sejauh 5 kilometer jarak penglihatan.

Ketua Balai Pemerhati Gunung Sinabung, PVMBG meletakkan gunung itu berstatus siaga atau berjaga – jaga Tahap Tiga.

Gunung itu tidak pernah meletus sejak tahun 1600 namun mula kembali aktif pada 2010 dan Letusan seterusnya pada 2014 membunuh 17 orang, manakala tujuh individu maut dalam letusan pada 2016.

Sementara itu, Pegawai pusat pemantau Gunung Sinabung, Armen Putra, berkata kira-kira 30,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing yang terletak di sekitar Gunung Sinabung dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini.

Gunung Sinabung adalah antara 120 gunung berapi aktif di Indonesia, yang terdedah pada pergolakan seismik berikutan lokasinya di atas ‘Lingkaran Api Pasifik’, iaitu lengkok gunung berapi dan garis sesar melingkari Lembangan Pasifik.