Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini meninggal dunia pada Selasa. Arwah penerima hati pertama negara 23 tahun lalu,

Mohd Afiq dilaporkan kritikal sejak 13 Februari lalu di Hospital Selayang

Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail yang juga penderma hati kepada Mohd Afiq Ikmal. turut bersedih apabila menerima panggilan daripada bapa Mohd Afiq, Muhammad Zaini Rahim pagi tadi memaklumkan berita tersebut.

“Panggilan diterima selepas Subuh ketika saya dalam perjalanan pulang selepas berjemaah di surau berhampiran rumah.

“Sememangnya saya terkejut kerana semalam (Isnin) semasa melawatnya bacaan jantungnya normal, namun kita kena reda,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Kongsinya lagi, Isnin lalu beliau bersama pihak keluarga juga sempat membuat panggilan bersama Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam.

“Mohd Ali antara individidu yang mengikut rapat proses pembedahan pemindahan hati Mohd Afiq sewaktu menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri Kesihatan ketika itu.

Katanya, jenazah bakal dibawa pulang ke Tikam Batu, Kedah hari ini untuk urusan pengebumian.

“Buat masa ini jenazah berada di Unit Forensik Hospital Selayang untuk bedah siasat.

“Saya juga akan pulang ke Kedah bagi menghadiri pengebumian tersebut,” katanya.

Mohd Afiq menjalani pemindahan hati ketika usianya 14 bulan