Begitulah nasib menimpa pemain cosplay dan badut, Yulius Atma Negara Thamrin dan isterinya yang tiada tempat tinggal dan berteduh di dalam kereta sejak setahun lalu.
Ia berikutan Yulius, 30, yang mesra disapa Yan tidak menerima tawaran untuk membuat persembahan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.
Lebih menambah derita apabila Yan mengalami masalah kesihatan iaitu komplikasi paru-paru yang menyebabkannya terpaksa berehat pada Oktober lalu bagi menjalani pembedahan disyorkan doktor di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Yan berkata, sejak hilang punca pendapatan, dia tiada pilihan kecuali tinggal dalam kereta dan pernah diberi menumpang di rumah rakan untuk tempoh sebulan.
Baru-baru ini, dia dan isteri tinggal di flat tidak berpenghuni dekat Ulu Tiram, tetapi hanya dapat berteduh di situ selama seminggu sebelum diminta mengosongkan kediaman berkenaan bagi mematuhi notis dikeluarkan pemaju.
Walaupun pendapatannya bergantung dengan tawaran, Yan seronok kerana dapat menghiburkan orang ramai dan melakukan kerja diminatinya dan pernah meraih RM30,000 dalam sebulan
Namun, segalanya berubah apabila Yan diuji dengan masalah rumah tangga dan kesihatan yang mengganggu tumpuannya terhadap kerja.
Menurutnya, dia dan isteri terpaksa menghantar anak mereka untuk di jaga keluarga di kampung kerana mereka tiada kerja tetap buat masa ini dan dan hanya mengambil upah menghantar tong barbeku.
Menurutnya sebagai bapa, dia tidak sanggup melihat anak berlapar serta tinggal di dalam kereta sepertinya.


“Saya sudah menemui bilik untuk disewa, cuma risau memikirkan cara mendapatkan wang untuk kelangsungan hidup.
“Agak sukar untuk tinggal dalam kereta bagi jangka masa panjang kerana saya kini mengambil upah membuat penghantaran barang.
“Jadi, saya ambil keputusan berpindah ke bilik sewa, hari ini cuma kerja saya memerlukan wang sebagai modal untuk mengisi minyak kereta kerana perlu menghantar barang kepada pelanggan,” katanya.
Menurutnya, ada rakan cosplay, Mohd Shaifuddin Rahmat, 38, serta rakan lain tampil membantu selepas mengetahui kisahnya di laman sosial.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Yan di talian 011 13311501.