PETALING JAYA – Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) menerima layanan lebih adil dan saksama dalam Parti Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Dominic Lau Hoe Chai mendakwa budaya seumpama itu tidak wujud semasa Gerakan menganggotai Barisan Nasional (BN) dengan menjadi parti komponen dalam parti itu sebelum ini.
Katanya, PN yang dipimpin oleh Perdsna Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melayan parti komponennya sebagai rakan kongsi yang diberi layanan sama rata dan diberi peluang meluahkan pendapat.
“Dalam suasana mesyuarat Kepimpinan PN peringkat Pusat baru-baru ini, semua suara parti komponen dalam PN didengari sepenuhnya yang mana kami diberi ruang seluas-luasnya untuk meluahkan pandangan serta cadangan untuk membantu mendekati dan menangani permasalahan rakyat dan PN.
“Inilah perbezaan yang sangat unik dan wujud dalam PN di bawah kepimpinan Perdana Menteri kita, tetapi di dalam BN dulu ia kuranglah,” katanya kepada pemberita selepas majlis Berbuka Puasa Gerakan Bersama Media di Hotel Eastin Petaling Jaya, malam tadi.
Gerakan pernah menjadi parti komponen BN, namun memutuskan untuk keluar daripada komponen tersebut pada Jun 2018, selepas BN kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). -KL Broadcast