AMPANG- Seramai 22 anak-anak yatim dan asnaf dirai sempena Program Ziarah Kasih Ramadan di Rumah Kebajikan Anak Yatim & Asnaf An-Naafi, Ampang, Selangor sebagai program kebajikan di bawah kelolaan Pertubuhan Generasi Digital Media (PGDM).
Usaha murni ini juga menjadi penyuntik semangat kepada PGDM untuk lebih kerap mengadakan aktiviti kebajikan sebagai tanda kemanusiaan dan keprihatinan, serta diharap dapat menyemai amalan bersedekah serta melahirkan rasa simpati kepada golongan kurang berkemampuan.
Presidennya, Mohd Azfarafandi Zulkfly berkata program itu merupakan program kali pertama dianjurkan sempena Ramadan, dengan kerjasama Syarikat Mamee Double Decker (M) Berhad (Mamee).
“Ini adalah sumbangan kami yang tidak seberapa namun berharap dapat menceriakan penghuni di sini dengan menghulurkan barangan keperluan, serta membawa pihak Mamee untuk memberikan produk mereka,” katanya yang ditemui selepas program.
Sementara itu, Pengasas Rumah Kebajikan Anak Yatim & Asnaf An-Naaf, Aishah Razali berterima kasih kepada PGDM dan Mamee yang memberi sumbangan itu kepada anak-anak yatim dan asnaf di bawah penjagaannya.
“Saya rasa sangat terharu dengan sumbangan dari pihak PGDM dan Mamee, anak-anak ini cukup teruja mendapat goodies bag produk Mamee, mereka sungguh gembira,” katanya. -KLBroadcast


