KUALA LUMPUR – Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Pertubuhan Generasi Digital Media (PGDM), akan mengagihkan sumbangan bekalan makanan asas kepada petugas media yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Presidennya, Azfarafandi Zulkfley, berkata pihaknya menganggarkan 200 petugas media akan dapat menerima bantuan yang akan disalurkan bermula minggu ini termasuklah individu yang bertugas di utara Semenanjung.
Sumbangan ini diperolehi oleh beberapa syarikat swasta yang bermurah hati tampil memberi bantuan sedemikian, dan diharap selepas ini akan lebih banyak pihak lain di luar sana yang akan turut sama menyumbang.




“Wabak Covid-19 di seluruh negara yang bermula sejak awal tahun lalu menyaksikan banyak golongan yang terkesan termasuklah petugas media, justeru PGDM terpanggil untuk membantu rakan-rakan kita yang memerlukan.
“Untuk PKP 3.0 ini kami akan mengagihkan sumbangan berbentuk barangan keperluan makanan sebanyak 200 pek.
“Semua 120 pek akan diagihkan kepada petugas media Kuala Lumpur, Selangor, manakala 80 pek lagi akan diagihkan kepada petugas media utara (Perak, Kedah, Perlis) yang terjejas pendapatan akibat PKP,” katanya.
Menurutnya lagi, semua petugas media yang masih berkhidmat atau bekas petugas media dialu-alukan untuk tampil untuk memohon.
“Sumbangan terbuka kepada semua petugas media. Tidak kira mereka bertugas online atau lain-lain. Sama ada stringers, kontrak, atau tetap semua boleh tampil mohon jika pendapatan mereka terkesan dengan pandemik ini.
“Sebarang sumbangan dana boleh disalurkan ke akaun Ambank 8881041662229 (Pertubuhan Generasi Digital Media),” ujarnya lagi. -KL Broadcast