KUALA LUMPUR – Kerajaan dimohon mempercepatkan proses pemberian vaksin Covid-19 kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan pekerja supaya mereka dapat kembali beroperasi segera.
Pengerusi Kelab Usahawan Saudagar Merah Terbilang, Zhafirin Mat Yusof berkata, kerajaan perlu memberikan tumpuan kepada usahawan, peniaga-peniaga kecil dan sederhana kerana golongan ini adalah antara penyumbang yang besar kepada pengaliran dan pusingan domestik.
“Ini bagi membolehkan sektor ekonomi IKS dapat di buka sepenuhnya dan beroperasi seperti biasa sekaligus dapat memperkasakan ekonomi dan merancakkan kembali aliran tunai dalam negeri”, katanya.
Beliau percaya jika kerajaan mengerahkan semua sumber dayanya sambil menggunakan kemudahan swasta, keseluruhan sektor industri akan mendapat vaksin dengan lebih cepat.

Selain dari itu, Zhafirin turut mencadangkan supaya cukai-cukai aktiviti perniagaan di mansuhkan sementara ketika musim pandemik, termasuk cukai jalan kenderaan bagi pemilik-pemilik kenderaan golongan M40 ke bawah.
Katanya, pelbagai bantuan seperti bakul makanan, bantuan dana pusingan, modal kerja dengan memperkasakan program-program perniagaan usahawan berteraskan MOBILE seperti mewujudkan bantuan pakej foodtruck dengan sistem pendigitalan selari dengan kehendak negara dalam menuju negara yang makmur, berkembang maju serta berteknologi tinggi dan mampu bersaing hingga ke peringkat antarabangsa.
Pada masa sama, Zhafirin menasihati golongan usahawan kecil yang dibenarkan untuk beroperasi agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
Katanya, tanggungjawab itu penting bagi memastikan penularan COVID-19 dapat diputuskan sekali gus kembali kepada kehidupan normal. -KL Broadcast