Ampang- Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, menyuarakan hasratnya untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU15) nanti.
Jamal menyatakan keputusan berkenaan kerana menjadi hasratnya untuk membina semula ‘semangat perjuangan’ UMNO yang telah ditolak pengundi pada Pilihan Raya lepas.
Namun ujarnya lagi, beliau tetap menghormati dan akur sebarang keputusan ditetapkan pucuk pimpinan parti jika tidak terpilih sebagai calon.
“Soal calon urusan pucuk pimpinan parti, dalam agenda politik untuk memenangkan Selangor perlukan pengorbanan dan perlu ada yang dikorbankan untuk impian tawan Selangor.
“Malah, siapa pun calon yang akan bertanding pada PRU-14 nanti, kita akan pastikan dia memperoleh kemenangan,” katanya pada sidang media rumah terbuka yang diadakan di kediamannya di Ampang.
Ditanya mengenai desas desus Tengku Datuk Seri Zafrul mahu bertanding di Selangor, Jamal berkata UMNO Bahagian Sungai Besar sedia menerima kehadiran Menteri Kewangan itu ke kawasan parlimen tersebut.
Beliau menyatakan berlapang dada dan tidak menolak mana-mana pemimpin yang turun padang untuk memberi sokongan moral dan bantuan termasuk dalam bentuk dana bagi membantu pihaknya.
Ini kerana beliau melihat ketika ini Selangor memerlukan pemimpin seperti Tan Sri Noh Omar dan Tengku Zafrul bagi membantu UMNO untuk merampas kembali kerajaan Selangor. -KL Broadcast