PUTRAJAYA- Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa mengesahkan berlakunya kes penjualan semula peranti siswa diperolehi di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia. Menurutnya tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang melakukannya.
Setakat ini, katanya terdapat 14 kes penjualan semula PerantiSiswa yang dikesan di seluruh negara, dan pemantauan terhadap perkara itu sedang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Ada tindakan tertentu akan diambil terhadap penjual peranti, contohnya paparkan nama secara terbuka untuk pengetahuan umum di portal perantisiswa atau maklumkan kepada pihak universiti,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini hari ini.
Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), bertujuan membantu proses pembelajaran mahasiswa Institut Pengajian Tinggi yang berada dalam kelompok B40.
Tindakan segelintir mahasiswa yang didapati menjual PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang diberikan kepada mereka secara percuma dikecam warganet.


Ia tular di sosial media selepas beberapa pelajar dipercayai cuba menjual Samsung Tab A8 yang diperolehi secara percuma pada harga RM900.
Difahamkan, setiap pelajar yang layak telah menerima peranti Samsung Tab A8. Ada di kalangan penerima peranti itu dilihat menjual gajet itu dengan alasan mahu menukar kepada ipad untuk kegunaan pembelajaran. -KL BROADCAST