KUALA LUMPUR – Kumpulan penyanyi wanita popular DOLLA kembali dengan karya terbaharu berjudul DAMELO. Ditulis dalam Bahasa Sepanyol pada asalnya, lagu ini kemudian diolah ke dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris.

“Walaupun lagu ini ditulis dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, kami masih kekalkan beberapa bahagian dalam Bahasa Sepanyol sebagai penghormatan kepada karya asal. Kami juga terpaksa belajar sedikit sebutan Bahasa Sepanyol daripada SonaOne dan adiknya untuk memastikan lagu ini disampaikan dengan betul.

Selain itu kami juga suka bereksperimentasi dengan perkara baharu, malah kami juga mempunyai peminat dari Amerika Latin sekarang. Jadi masanya memang sesuai,” ujar kumpulan DOLLA tentang projek baharu ini.

Ditanya mengenai pengalaman sewaktu penggambaran untuk muzik video ‘Damelo’, mereka akui ia merupakan satu cabaran kerana terpaksa berhadapan dengan beberapa isu semasa penggambaran video muzik.

“Kami terpaksa beraksi di padang pasir dan sebuah bengkel yang sangat panas.. Bayangkan kami terpaksa menari dan beraksi dengan lampu yang banyak selama berjam-jam di bawah sinar matahari. Malah ‘sunburn’ di badan juga masih tidak hilang walaupun sudah sebulan,” kata Syasya.

Tapi secara umum ia satu pengalaman yang hebat berkat perancangan yang baik oleh team penerbitan,” tambah mereka lagi.

Dolla juga berharap Damelo akan menjadi batu loncatan untuk mereka mencapai pasaran baharu dan mendekati lebih banyak pendengar serta peminat antarabangsa. -KL Broadcast