PETALING JAYA – Air mata Faisal Halim gugur di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas hadir menyaksikan rakan sepasukannya dalam skuad Harimau Malaya mula menjalani latihan, pada Khamis.
Jelas Faisal atau lebih mesra dengan panggilan ‘Mickey’, dia datang untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan di dalam pasukan yang akan bersaing dalam Pestabola Merdeka 2024, minggu hadapan.
Katanya, dia sedih apabila tidak dapat menyertai pasukan, namun sentiasa mendoakan agar pasukan mampu menyerlah nanti.
Dalam masa yang sama, dia turut sebak apabila terkenang memori indahnya bersama pasukan negara yang tersemat di bangunan berkenaan.
“Sebenarnya sedih, sebenarnya sebab saya tak dapat bersama-sama pasukan.
“Saya rasa tak lama lagi saya akan kembali, insya-Allah. Saya harap semua dapat mendoakan saya. Saya tak sabar untuk kembali. Saya datang hari ini selepas Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM) hubungi saya semalam (Rabu) bagi memberikan semangat kepada rakan sepasukan dan saya pun rindu saat ini.
Terdahulu, Faisal terpaksa berehat dari dunia bola sepak apabila terlibat dalam insiden simbahan asid yang menyebabkan sebahagian anggota badannya melecur tahap empat, dan ini merupakan kali pertama Faisal menjejakkan kaki di FAM sejak insiden itu. -KL Broadcast