PETALING JAYA: Satu lagi inisiatif khas oleh Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memperkasakan dan memperkukuh ekonomi komuniti India, bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata satu mesyuarat akan diadakan minggu depan bagi meneliti beberapa perkara yang berbangkit sebelum membuat pengumuman tersebut.

“Selepas berjaya mengusahakan tiga inisiatif khas untuk mempertingkatkan ekonomi usahawan India di negara ini dalam tempoh empat bulan lalu, saya telah mengenal pasti satu lagi inisiatif yang cukup menarik yang dapat membantu usahawan India untuk kemajuan ekonomi mereka.

Sehubungan itu jelasnya, satu mesyuarat akan diadakan minggu depan bagi meneliti beberapa perkara yang berbangkit sebelum membuat pengumuman tersebut.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata begitu kepada pemberita merasmikan Program Onam Vannallo 3.0 di Dewan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW) di Petaling Jaya pada Ahad.

Program persembahan anjuran Persatuan Malayalee (SFTMA) dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat itu turut dihadiri Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan pengerusi jawatankuasa penganjur program, Datin Sri Shaila Nair.

Tiga inisiatif khas yang diumumkan sebelum ini ialah Skim Pembiayaan Pemerkasaan (SPUMI) Goes Big melalui TEKUN Nasional dengan peruntukan RM30 juta; Prosperity, Empowerment and A New Normal (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia dengan peruntukan RM50 juta khusus untuk pemerkasaan wanita India dan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) di bawah Bank Rakyat dengan peruntukan RM50 juta. -KL Broadcast