
Kuala Lumpur -Datuk Zulhelmy Ithnain telah dilantik sebagai Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ke-19, menggantikan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob yang akan bersara pada 2 Disember. Upacara pemakaian pangkat Laksamana kepada beliau disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Zulhelmy, yang dilahirkan pada 2 Januari 1968 di Dato’ Keramat, Kuala Lumpur, memulakan kerjayanya dalam TLDM pada tahun 1986 selepas menamatkan pendidikan di Maktab Tentera Diraja. Sebagai seorang pakar kapal selam, beliau telah menjalani latihan di HMAS Platypus, Australia, dan menamatkan kursus kapal selam di Brest, Perancis. Antara pencapaiannya yang paling bersejarah adalah membawa pulang kapal selam pertama Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman, dari Perancis.
Selain daripada pengalaman sebagai ‘Submariner’, Zulhelmy telah memegang pelbagai jawatan penting dalam TLDM, termasuk Panglima Angkatan Kapal Selam dan Panglima Wilayah Laut 1. Beliau juga merupakan alumni institusi ketenteraan antarabangsa seperti National Defence College of the Philippines, United States Naval War College, dan Royal College of Defence Studies, United Kingdom.