Presiden Nasional GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, di samping sibuk ke luar negara membina imej antarabangsa negara dan kepentingan peribadi, perlu juga memberi perhatian kepada isu kesesakan di hospital kerajaan dalam negara.

Beliau menegaskan keperluan untuk mempercepatkan usaha meningkatkan kemudahan hospital kerajaan serta melaksanakan reformasi menyeluruh bagi menangani masalah kesesakan di wad dan ruang menunggu hospital kerajaan.

Menurut Dominic Lau, tenaga kerja yang mencukupi adalah kunci untuk menyelesaikan masalah kesesakan di wad dan ruang menunggu. Untuk memastikan rawatan tidak lagi sesak, penyelesaiannya tidak boleh bergantung kepada langkah kecemasan untuk mengurangkan orang ramai, tetapi harus melalui sistem yang teratur dengan pengurusan aliran yang lengkap.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), perlu memaklumkan kepada rakyat mengenai cadangan dan laporan yang telah dikemukakan oleh Pasukan Petugas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, pada penghujung Februari tahun lalu.

Beliau percaya bahawa kakitangan perubatan kerajaan merupakan kumpulan yang menanggung tekanan kerja paling besar dalam sektor awam. Isu ini sangat serius dan memerlukan perhatian serta tindakan pantas daripada kerajaan. Sebelum mengarahkan rakyat untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, kerajaan perlu memastikan mereka dapat menilai tahap kesihatan masing-masing terlebih dahulu.

“Saya juga berharap setiap Ahli Parlimen kawasan dapat turun ke hospital kerajaan di kawasan masing-masing untuk memahami situasi sebenar. Ini adalah isu yang paling dekat dengan rakyat dan merupakan hak asasi yang patut dinikmati oleh mereka”

Dominic Lau baru-baru ini membawa ibunya untuk rawatan susulan ortopedik di Hospital Besar Pulau Pinang. Beliau terkejut dengan kesesakan yang berlaku di ruang menunggu. Setelah berbual dengan beberapa kakitangan perubatan dan memahami situasi mereka, beliau sangat berharap agar kakitangan perubatan kerajaan tidak perlu bekerja dalam keadaan tekanan tinggi dan tidak selesa seperti ini dalam jangka masa panjang.

Katanya, kakitangan perubatan juga tidak berdaya untuk mengatasi keadaan ini kerana ia bergantung kepada pentadbiran dan keputusan kerajaan. Walaupun isu ini telah banyak kali dikemukakan dan dibangkitkan, kerajaan masih gagal menyelesaikannya secara berkesan.

“KKM perlu mengkaji sama ada sistem yang digunakan sekarang boleh mempercepatkan pelaksanaan langkah pendigitalan hospital kerajaan atau sebaliknya. Saya percaya langkah ini dapat mempercepatkan masa pesakit menjalani pemeriksaan seperti X-ray, imbasan CT (CT Scan), dan ujian-ujian lain” tegas beliau.

Datuk Dr.
Dominic Lau Hoe Chai
Presiden Nasional GERAKAN