KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal negara, Anuar Zain telah dilantik sebagai Duta Kemanusiaan oleh Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) dalam kempen terbaharu mereka, “Palestine Rays of Hope”.

Kempen ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu rakyat Palestin yang sedang menghadapi krisis kemanusiaan yang semakin kritikal, terutama menjelang musim sejuk yang bakal tiba.

Fokus utama kempen ini adalah mengumpul sumbangan untuk menyediakan pakaian dan kelengkapan musim sejuk bagi mereka yang terjejas. Inisiatif ini sangat penting untuk meringankan beban penduduk Palestin yang kini bergelut dengan kekurangan makanan, keperluan asas, dan kesulitan hidup akibat konflik yang berlarutan.

Anuar Zain, yang telah lama mengikuti perkembangan situasi di Gaza, menyatakan rasa empati yang mendalam terhadap penderitaan rakyat Palestin.

“Saya sangat tersentuh dengan kesengsaraan yang mereka alami. Oleh itu, saya rasa terpanggil untuk memberi sokongan dan menjadi sebahagian daripada usaha ini sebagai Duta Kemanusiaan MAHAR,” ujar Anuar Zain.

Dalam ucapannya, Anuar juga menyeru masyarakat Malaysia, termasuk individu dan syarikat korporat, untuk turut serta dalam kempen ini.

“Sumbangan anda dapat memberikan impak besar kepada kehidupan mereka. Walaupun ia tidak dapat memulihkan sepenuhnya penderitaan yang mereka hadapi, sekurang-kurangnya ia dapat memberi sedikit keselesaan dan harapan baru kepada mereka,” tambahnya.

Kempen “Palestine Rays of Hope” diharap dapat memberi perubahan positif bagi rakyat Palestin yang terus berjuang dalam menghadapi cabaran hidup yang semakin berat.

Sementara itu, Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata, signifikan program yang dirancang.

MAHAR adalah untuk menunjukkan solidariti kita dengan saudara kita di bumi Gaza serta menterjemah rasa ihsan serta belas kasihan.

“Kita berharap usaha ini akan membentuk satu gelombang kebersamaan dari peringkat masyarakat untuk mencipta kebaikan secara berjemaah.

“Kempen ini bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan mendesak mereka yang terjejas, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang cabaran kemanusiaan yang berterusan di Palestin,” katanya.

MAHAR percaya dengan usaha bersama, kita bukan sahaja dapat meringankan beban tetapi juga memberi inspirasi kepada lebih ramai untuk turut serta membuat perubahan. -KL Boadcast