SELANGOR – Malaysia melakar sejarah baharu dalam arena sukan dengan pembukaan 9Pickle Arena powered by PANAS Express di Setia Alam, gelanggang pickleball pertama di negara ini yang dilengkapi kemudahan grandstand berkapasiti 500 penonton.
Pengasasnya, Vincent Siow berkata arena ini dibina dengan matlamat menjadi pusat sukan pickleball bertaraf dunia yang inklusif dan mampu milik, sejajar dengan hasrat mengembangkan sukan tersebut kepada masyarakat umum.
Majlis perasmian arena dijadual berlangsung pada 13 April 2025, dijangka lebih bermakna dengan kehadiran bintang pickleball nombor satu ASEAN dan pemain ranking keenam dunia, Quang Duong, yang akan mengendalikan klinik latihan khas untuk pemain tempatan, selain mengadakan perlawanan pameran bersama beberapa pemain terkemuka Malaysia.
Quang turut akan menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan mega 9Pickle yang bakal berlangsung sempena pembukaan arena itu.



Selain membangunkan 9Pickle Arena, Vincent juga merupakan individu di sebalik kejayaan rangkaian AI 24/7 Convenience Mart PANAS Express yang kini memiliki 70 cawangan dalam tempoh 18 bulan dan terus berkembang pada kadar dua cawangan baharu setiap minggu.
Vincent turut berkongsi visi masa depan dengan mendedahkan pihaknya kini sedang berbincang dengan Professional Pickleball Association (PPA) untuk membawa kejohanan PPA pertama ke Malaysia.
Usaha itu dijangka menarik lebih ramai pemain antarabangsa ke negara ini, sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab sukan pickleball di rantau ini.
Sementara itu, Quang Duong, dalam satu pertemuan maya, memuji usaha Vincent membangunkan 9Pickle Arena yang disifatkan mampu mengubah persepsi dunia terhadap pembangunan sukan pickleball di Malaysia.
Vincent berharap pembukaan arena ini akan menjadi pencetus kepada pembinaan ekosistem pickleball yang lebih kukuh di negara ini, selain melahirkan lebih ramai jaguh tempatan yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.