Majlis makan malam ASEAN (ASEAN-BAC)menyatukan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan legenda Liverpool FC, Sami Hyypiä, pada 23 September lepas sekali gus menonjolkan gabungan unik antara dunia ekonomi dan diplomasi sukan.
Majlis santai yang berlangsung selama 30 minit yang dipenuhi dengan trivia bola sepak serta perkongsian inspirasi mengenai kepimpinan, kerja berpasukan dan ketahanan diri antara Tengku Zafrul dan Hyypiä — yang kini merupakan duta Liverpool FC — dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien.
Menjawab secara berseloroh mengenai pilihan kerjayanya jika tidak menjadi menteri atau ahli perbankan, Tengku Zafrul bergurau: “Saya mungkin akan bermain bola untuk bantu Manchester United,” disambut dengan gelak tawa dan tepukan daripada para hadirin.
Sementara itu, Hyypiä, yang pernah mengetuai Liverpool dalam kejayaan terkenal Liga Juara-Juara 2005 di Istanbul, Turki, berkongsi pengajaran daripada kemenangan comeback tersebut.
“Tiada siapa yang benar-benar percaya kami boleh membalas defisit 3-0 pada separuh masa pertama, tetapi ia menunjukkan kepada saya bahawa walaupun kita sendiri tidak yakin, jika kita berusaha sepenuhnya, keajaiban boleh berlaku,” katanya.