KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2025 – BlackBerry Limited dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi melahirkan generasi baharu pakar keselamatan siber dan jurutera perisian tertanam di Malaysia.

Kerjasama ini bertujuan memperkukuh pembangunan bakat digital, inovasi serta daya saing siber negara selaras dengan matlamat Malaysia dan rantau ASEAN. Majlis menandatangani MoU disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa Kanada, Yang Berhormat Maninder Sidhu, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Dato’ Seri Dr. Zambry berkata, kerjasama ini akan memperkukuh penyelidikan, inovasi dan kemahiran pelajar, sekali gus melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang keselamatan siber dan pembangunan perisian.

Melalui kerjasama berbilang tahun ini, pelajar dan pensyarah UKM akan mendapat akses kepada latihan industri, program pensijilan, peluang latihan amali, serta dana penyelidikan yang disediakan oleh BlackBerry. Usaha ini dijangka meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperkasa ekosistem teknologi tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif BlackBerry, John Giamatteo, berkata kerjasama ini akan memberi pelajar pendedahan latihan bertaraf dunia dan bimbingan industri bagi membina kemahiran teknikal serta nilai kepimpinan etika dalam ekonomi digital Malaysia.

Pelajar UKM juga akan mendapat manfaat daripada program QNX® Everywhere oleh BlackBerry, yang menyediakan latihan dalam pembangunan perisian tertanam yang digunakan oleh syarikat utama dalam industri automotif dan perubatan di seluruh dunia.

Selain itu, UKM turut bekerjasama dengan BlackBerry dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dalam melancarkan program baharu Trustworthy Professionals, yang akan memberi latihan keselamatan siber beretika kepada 50 belia daripada golongan kurang berkemampuan. Program ini menekankan nilai integriti, tanggungjawab dan penggunaan kemahiran digital secara beretika.

Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, kerjasama ini menggabungkan kekuatan akademik UKM dengan kepakaran global BlackBerry bagi melahirkan pemimpin teknologi masa depan yang berkemahiran tinggi serta berpegang pada nilai etika dan amanah dalam melindungi masa depan digital negara.

Ditubuhkan pada tahun 1970, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan universiti penyelidikan terkemuka yang komited terhadap inovasi, kelestarian dan ketahanan digital negara, serta terus menjadi peneraju dalam melahirkan graduan berdaya saing dan berimpak global.