Putrajaya: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini didapati bersalah atas keempat-empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Dalam penghakimannya, hakim menyatakan bahawa berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan, tertuduh gagal menangkis anggapan suapan di bawah Seksyen 23(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada imbangan kebarangkalian, selain tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM. Oleh itu, tertuduh disabitkan bersalah atas pertuduhan tersebut,” katanya.
Najib yang hadir ke mahkamah dengan mengenakan sut berwarna biru dilihat tenang ketika keputusan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Najib didakwa melakukan kesalahan berkaitan penerimaan suapan berkenaan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.