KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Pusat Mencuci dan Membersih Kenderaan Generasi Satu Malaysia (PERGMA) menggesa kerajaan agar membuka semula pengambilan pekerja warga asing bagi industri cuci kereta yang kini berdepan kekurangan tenaga kerja kritikal.
Setiausaha PERGMA, R. Suresh Rao berkata, pengusaha-pengusaha pusat cuci kereta di seluruh negara semakin sukar mendapatkan pekerja tempatan meskipun pelbagai usaha telah dilakukan bagi memberi peluang pekerjaan kepada golongan belia tempatan.
“Kami sudah cuba mengambil pekerja tempatan, termasuk golongan pemuda, namun kebanyakannya memilih untuk bekerja dalam sektor lain seperti perkhidmatan penghantaran dan e-hailing seperti Lalamove dan Grab”.
“Kekurangan pekerja tempatan dalam industri ini merupakan masalah bersifat struktur. Walaupun gaji ditawarkan mengikut kadar semasa, pekerjaan dalam sektor pencucian kenderaan masih dikategorikan sebagai pekerjaan 3D (Dirty, Difficult, Dangerous), melibatkan kerja fizikal yang kotor, berat serta terdedah kepada cuaca dan persekitaran kerja yang mencabar,” katanya.
Menurutnya lagi, situasi tersebut menyebabkan pengusaha tiada pilihan selain bergantung kepada tenaga kerja warga asing bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan.



Sehubungan itu, PERGMA menerusi satu memorandum yang diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya pagi tadi, memohon agar kerajaan memberi kelulusan semula kepada pengusaha cuci kereta untuk mengambil pekerja asing sebagai subsektor di bawah sektor perkhidmatan.
Suresh Rao berkata, sejak tahun 2021, PERGMA telah menghantar memorandum kepada tiga kementerian berkaitan bagi membangkitkan isu sama, iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), namun sehingga kini masih belum menerima sebarang penyelesaian muktamad.
Untuk rekod, industri pencucian dan pembersihan kenderaan merupakan antara subsektor perkhidmatan yang berkembang pesat serta mempunyai kepentingan langsung dalam kehidupan seharian rakyat. Dianggarkan lebih 11,400 premis cuci kenderaan beroperasi di seluruh negara ketika ini.
Beliau turut mendedahkan bahawa keputusan tersebut telah memaksa sebahagian pengusaha menggunakan kaedah tidak sah bagi mendapatkan tenaga kerja.
“Perkara ini memang salah dari segi undang-undang, namun mereka terdesak kerana kekurangan pekerja. Kami tidak mahu melanggar undang-undang dan ingin menjalankan perniagaan secara sah,” katanya.
Beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan itu dan mengambil tindakan segera demi kelangsungan industri cuci kereta di negara ini. -KL Broadcast


Leave a Reply