KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab dakwaan kononnya kerajaan menyerahkan lebih 5,000 hektar tanah kepada Indonesia.
Beliau menyifatkan tuduhan pembangkang itu langsung tak masuk akal dan sekadar satu percubaan untuk mengelirukan rakyat.
Beliau turut menyifatkan tindakan pembangkang yang memainkan sentimen agama demi kepentingan politik sebagai melampau dan tidak bertanggungjawab.
Menurut beliau, kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan sehingga membawa kepada penyebaran maklumat palsu yang boleh mengelirukan masyarakat. Tegasnya, sekiranya pembangkang benar-benar mahukan penjelasan, isu berkenaan sepatutnya dibangkitkan secara matang dan berasaskan fakta.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan tidak melihat keperluan untuk memberikan penjelasan lanjut di Parlimen berhubung isu tersebut, memandangkan ia telah dijelaskan sebelum ini.
Beliau berkata, budaya politik yang mengamalkan pendekatan provokatif dan sembrono hanya akan merosakkan suasana politik negara, selain tidak mencerminkan nilai tanggungjawab serta kejujuran yang seharusnya menjadi asas dalam amalan demokrasi.
“Pendekatan sebegini bukan sahaja berbahaya, malah berpotensi menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik dan institusi negara,” katanya.