
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menafikan dakwaan bahawa Malaysia telah menyerahkan seluas 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan melibatkan tiga kampung di Nunukan, sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak benar dan mengelirukan.
Berucap pada taklimat berkaitan Isu Sempadan Tertunggak (Outstanding Boundary Problems, OBP) Malaysia–Indonesia di Dewan Rakyat, beliau menegaskan bahawa kedua-dua negara terikat dengan perjanjian sempadan yang dimeterai sejak tahun 1915.
Menurut Anwar, dakwaan kononnya Malaysia telah menyerahkan kawasan berkenaan adalah palsu dan tidak berasas, malah kawasan yang dipertikaikan telah dikenal pasti dengan jelas berdasarkan rekod dan peta rasmi sejak perjanjian tersebut dimeterai.
“Kita tidak mengesahkannya sebagai milik Malaysia, namun kita juga tidak pernah menuntut kawasan itu sebagai wilayah negara,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa lima kawasan pesisir pasang surut di sektor Sabah–Kalimantan Utara serta empat isu OBP di sektor Sarawak–Kalimantan Barat masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan.

Sehubungan itu, Anwar mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak menjadikan isu sempadan sebagai bahan untuk meraih kepentingan politik sempit yang boleh menjejaskan kepentingan negara serta hubungan dua hala Malaysia–Indonesia.
Beliau turut merujuk dakwaan sebelum ini berkaitan kawasan Ambalat yang disifatkan sebagai belum dimuktamadkan, namun telah dipolitikkan dengan tuduhan kononnya Malaysia menyerahkan wilayah negara.
“Kepentingan negara, termasuk soal sempadan, mesti dibincangkan secara bertanggungjawab dan berasaskan fakta serta data. Saya mengalu-alukan pertanyaan daripada pihak pembangkang, namun menolak sekeras-kerasnya tuduhan pengkhianatan terhadap negara,” katanya.
Penjelasan itu dibuat susulan laporan dan perbincangan meluas yang mendakwa Malaysia telah menyerahkan wilayah kepada Indonesia sebagai sebahagian daripada penyelesaian sempadan.

Dalam perkembangan berkaitan, Agensi Pengurusan Sempadan Nasional Indonesia memaklumkan bahawa Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas kini diiktiraf sebagai sebahagian daripada wilayah Malaysia susulan pelarasan sempadan darat antara kedua-dua negara.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha agensi berkenaan, Pesuruhjaya Polis Makhruzi Rahman, kepada Suruhanjaya II Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, yang menyatakan bahawa persetujuan tersebut dicapai menerusi memorandum persefahaman semasa Mesyuarat Bersama Malaysia–Indonesia ke-45 yang berlangsung di Pulau Sebatik pada 18 Februari 2025.

