PUTRAJAYA – Kerajaan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk merobohkan mana-mana rumah ibadat, termasuk kuil, yang dibina secara sengaja tanpa mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak lagi membenarkan pembinaan rumah ibadat yang melanggar peraturan. Menurut beliau, majlis bandaraya diberi kebenaran untuk mengambil tindakan dan membersihkan kawasan yang bukan hak rumah ibadat bagi menyelesaikan isu tersebut secara teratur dan berlandaskan undang-undang.

Beliau mengakui langkah berkenaan berpotensi menimbulkan kontroversi, namun menegaskan bahawa sebarang tindakan melampau atau kempen merobohkan kuil secara sewenang-wenangnya adalah tidak wajar. Katanya, tanggungjawab kerajaan adalah untuk mentadbir negara mengikut lunas undang-undang kerana Malaysia merupakan sebuah negara hukum.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini, hari ini.