KUALA LUMPUR – Proton melalui Pro-Net hari ini rasmi melancarkan Proton e.MAS 7 PHEV 2026, sekali gus menjadi model hibrid plug-in (PHEV) pertama serta kenderaan dwi-kuasa pertama di bawah jenama nasional itu.

Majlis pelancaran berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

SUV segmen-C elektrifikasi ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu Prime, Premium dan Premium Plus, dengan harga bermula RM105,800 hingga RM125,800. Ia dikuasakan oleh Teknologi Hibrid EM-i PROTON berasaskan Platform Arkitektur Modular Global (GMA), yang menggabungkan enjin hibrid, transmisi khas hibrid (DHT) dan bateri litium-besi-fosfat (LFP).

Proton e.MAS 7 PHEV mencatatkan penggunaan bahan api 4.3 liter bagi setiap 100 kilometer, selain menawarkan kos penyelenggaraan lebih rendah dengan servis sekali setahun atau setiap 15,000 kilometer.

Dalam ujian pemanduan, model ini merekodkan jarak sehingga 1,104.5 kilometer dengan gabungan sekali cas penuh dan setangki petrol penuh. Teknologi EM-i mengutamakan pemanduan elektrik dengan sekitar 80 peratus pemanduan menggunakan sistem EV, serta menawarkan tiga mod pemanduan iaitu Pure, Hybrid dan Power.

Tempahan kini dibuka dengan RM99, manakala 5,000 pembeli terawal layak menerima rebat pelancaran RM4,000, tertakluk kepada terma dan syarat. -KL Broadcast