BUKIT GELUGOR, 17 Feb — Srikandi BERSATU Bahagian Bukit Gelugor hari ini mengumumkan pembubaran keseluruhan Jawatankuasa Srikandi Bahagian serta keputusan untuk keluar daripada parti berkuat kuasa serta-merta.

Menurut satu kenyataan media, keputusan itu dibuat selepas majoriti pimpinan dan ahli di peringkat bahagian menyuarakan hilang kepercayaan terhadap hala tuju dan kepimpinan parti ketika ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa perkembangan mutakhir parti, termasuk beberapa tindakan disiplin dan pemecatan pimpinan, telah menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Srikandi Bersatu Bahagian Bukit Gelugor secara sebulat suara memutuskan untuk membubarkan jawatankuasa berkenaan, meletakkan semua jawatan dalam parti serta menamatkan keanggotaan masing-masing berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan itu lagi, keputusan berkenaan dibuat selepas melalui perbincangan dan penelitian yang mendalam, dan bukan secara tergesa-gesa, bagi memastikan prinsip perjuangan serta kebajikan ahli terus terpelihara.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Nor Azah Abdul Aziz yang juga Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Bukit Gelugor, merangkap Naib Ketua Srikandi Bersatu Pulau Pinang dan Ketua Cawangan Bersatu Sungai Gelugor.

Walaupun keluar daripada parti, Srikandi Bersatu Bahagian Bukit Gelugor menegaskan komitmen untuk terus berkhidmat kepada masyarakat, khususnya wanita dan penduduk setempat, melalui pendekatan serta platform lain yang akan dimaklumkan kelak.