Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, dua nama terkenal dalam dunia kulinari tempatan, Gajah Tiga dan Farmer Village, buat pertama kalinya menjalin kerjasama istimewa menerusi penganjuran buffet berbuka puasa bertemakan Sajian Imbauan Desa.

Buffet Ramadan ini menampilkan lebih 70 hidangan warisan Melayu yang diinspirasikan daripada masakan tradisional kampung, sekali gus membangkitkan nostalgia saat berbuka puasa bersama keluarga dan sahabat handai.

Antara tarikan utama Sajian Imbauan Desa ialah menu ‘signature’ Cucur Udang Gajah Tiga, selain hidangan popular lain seperti Rendang Tok, Ayam Masak Lemak Cili Api, Gulai Daging Kawah, Sate Ayam dan Daging, Tempoyak Pucuk Ubi serta Kambing Golek yang pasti membuka selera.

Tidak hanya tertumpu kepada hidangan utama, Sajian Imbauan Desa turut menawarkan pelbagai pembuka selera termasuk Gado-Gado dan aneka kerabu seperti Kerabu Pegaga serta Kerabu Ikan Bilis.

Pengalaman berbuka puasa ini turut dilengkapkan dengan hampir 20 jenis kuih-muih tradisional dan pencuci mulut, antaranya Pengat Pisang, Bubur Pulut Hitam, Coconut Brownies, Roti Jala, Cucur Jawa, Bingka Ubi, Talam Cendol, aneka rojak buah dan aiskrim.

Menurut Pengasas Farmer Village, Dato’ Peter Ng, kerjasama bersama Gajah Tiga ini bertujuan untuk menawarkan kepelbagaian menu yang lebih menarik kepada pengunjung.

“Gabungan ini diwujudkan bagi menyajikan pengalaman berbuka puasa yang unik, hasil daripada kepakaran kedua-dua pihak. Ini juga merupakan kali pertama Farmer Village menganjurkan buffet Ramadan dengan konsep suasana bazar Ramadan bagi menghidupkan kembali kemeriahan bulan puasa,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa Farmer Village disasarkan sebagai lokasi rekreasi mesra keluarga yang boleh dinikmati oleh pelbagai peringkat usia, dengan gabungan makanan, minuman dan suasana santai.

Sementara itu, Pengarah Syarikat Gajah Tiga, Nazri Hendra, menyatakan harapan agar kerjasama strategik ini mampu mengukuhkan jenama kedua-dua restoran serta memberikan pengalaman berbuka puasa yang bermakna kepada para pelanggan.