PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan diskaun tol 50 peratus selama dua hari sempena Aidilfitri bagi meringankan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu berkuat kuasa mulai 18 hingga 19 Mac ini membabitkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang.
Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan untuk memberi diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman.
“Diskaun ini akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 hingga jam 11.59 malam 19 Mac 2026, melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya.
“Inisiatif ini melibatkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol,” menurut kenyataan beliau hari ini.
Menurut Anwar, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya sepanjang Ramadan dan persediaan menyambut Aidilfitri.
Kerajaan turut melaksanakan beberapa inisiatif lain termasuk pemberian cuti tambahan Aidilfitri, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dari 14 hingga 28 Mac 2026 serta bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada 5.2 juta penerima melibatkan RM1.3 bilion.
Selain itu, bantuan khas kewangan disalurkan kepada penjawat awam, pesara dan veteran termasuk lebih 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru KAFA dan takmir.
Pada masa sama, hampir 1,900 Program Jualan Rahmah MADANI dilaksanakan sepanjang Ramadan bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga barangan kekal berpatutan.
Kerajaan juga menguatkuasakan larangan penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing bagi memastikan subsidi dinikmati rakyat Malaysia. -KL Broadcast