
CHERAS, 19 Mac 2026 – Prasarana Malaysia Berhad terus memperkukuh peranannya dalam membina generasi tenaga mahir pengangkutan awam menerusi pelaksanaan Program TVET Graduate Empowerment through Apprenticeship & Readiness (T-GEAR).
Seramai 67 pelajar daripada 24 kolej vokasional seluruh negara telah memulakan program ini, yang memberi peluang kepada mereka menimba pengalaman industri secara langsung bersama pengendali pengangkutan awam negara. Peserta akan ditempatkan di beberapa depot bas di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang bagi pendedahan praktikal dalam persekitaran operasi sebenar.
Program T-GEAR menyasarkan penyertaan sehingga 1,000 pelajar dalam tempoh lima tahun, meliputi bidang TVET rel, bas dan keselamatan siber. Inisiatif ini merupakan kesinambungan usaha yang diperkenalkan pada 2025, selaras dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 dalam memperkasa tenaga kerja mahir negara.

Dalam bidang TVET bas, program ini memperkenalkan modul Pengoperasian Bas Elektrik yang merangkumi pembelajaran teori, latihan praktikal serta pendedahan kepada operasi sebenar pengangkutan awam. Pelajar yang menamatkan latihan akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, selain Sijil Latihan Industri Prasarana.
Program di bawah seliaan Jabatan Pembelajaran dan Pembangunan serta Rapid Bus Sdn Bhd ini turut memberi penekanan kepada kemahiran teknikal dan kefahaman teknologi kenderaan elektrik yang semakin berkembang dalam industri mobiliti.
Bagi tahun 2026, program ini menyasarkan penyertaan seramai 251 pelajar dan graduan merangkumi lepasan sekolah, pelajar institusi vokasional, pemegang diploma serta graduan universiti yang berminat dalam bidang teknikal rel dan bas.
Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Prasarana, Harigaran Bharatham berkata pelaksanaan modul Pengoperasian Bas Elektrik mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan pembangunan bakat selari dengan keperluan masa depan industri pengangkutan awam.
“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar memperoleh kemahiran teknikal yang diiktiraf, malah menyediakan pendedahan langsung kepada teknologi mobiliti hijau,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia, Zulkernai Fauzi berkata pendekatan latihan berasaskan industri seperti T-GEAR mampu memperkukuh kebolehpasaran graduan TVET.

“Kerjasama strategik antara industri dan institusi latihan amat penting bagi memastikan kurikulum sentiasa relevan dengan keperluan semasa,” katanya.