Kuala Lumpur – Malaysia tidak tergolong dalam negara yang berisiko mengalami ‘bankrap air’ kerana masih mempunyai sumber air mentah yang mencukupi.
Namun, isu utama yang dihadapi ialah kelemahan dalam pengurusan, perlindungan kawasan tadahan dan sistem agihan air.
Dipetik dari kenyataan media Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan negara menerima lebih 2,500 mm hujan setahun dengan jumlah sumber air boleh diperbaharui yang tinggi, sekali gus menafikan risiko kekurangan air secara fizikal.
Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa tekanan bekalan boleh berlaku menjelang 2030 jika pengurusan tidak ditambah baik. Antara cabaran utama termasuk pencemaran sungai, pencerobohan kawasan tadahan dan kekurangan penggunaan sumber air alternatif.
Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) masih tinggi, menyebabkan kehilangan besar air terawat setiap hari. Pengurangan kadar ini mampu menjimatkan berbilion liter air tanpa perlu bina loji baharu.
Dalam masa sama, permintaan air dijangka terus meningkat, manakala sebahagian sungai negara sudah mengalami pencemaran pada tahap membimbangkan.
Kerajaan akan memperkukuh strategi pengurusan air melalui pendekatan bersepadu, penambahan storan, penggunaan teknologi moden serta kempen kesedaran bagi mengurangkan penggunaan air domestik yang masih tinggi.