Kuala Lumpur- Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan tampil menolak sepenuhnya dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan skandal rasuah melibatkan jumlah RM9.5 juta yang didakwa berkait dengan ahli perniagaan kontroversi, Victor Chin.
Naib Presiden PKR itu menegaskan beliau langsung tidak mengenali individu berkenaan, apatah lagi pernah berurusan dengannya. Justeru, beliau menolak spekulasi yang mengaitkan dirinya sebagai “Mr R” yang kini hangat diperkatakan di media sosial.
Dalam sidang media yang diadakan di Sungai Buloh, Ramanan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan mencabar mana-mana pihak supaya tampil dengan bukti kukuh, bukan sekadar membuat dakwaan tanpa asas.
Beliau turut mempersoalkan logik dakwaan itu, dengan menegaskan mustahil untuk menerima wang daripada seseorang yang langsung tidak dikenalinya.
Dalam perkembangan sama, Ramanan mendakwa wujud usaha terancang untuk menjatuhkan reputasinya, termasuk penglibatan “cybertrooper” yang didakwa berkait dengan Rafizi Ramli.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan menggugat perpaduan dalam parti.
Tidak hanya mempertahankan diri, Ramanan juga mengkritik Rafizi dengan menyifatkannya sebagai menteri yang gagal, selain menuduh Ahli Parlimen Pandan itu mempunyai agenda tersendiri.
Sebelum ini, Victor Chin dilaporkan mengemukakan dokumen setebal 40 halaman yang mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta bayaran RM10 juta bagi menyelesaikan isu yang dihadapinya dengan kumpulan tertentu. Beliau mendakwa telah menyerahkan RM9.5 juta, namun masalah tersebut tidak diselesaikan.
Chin turut memberi amaran bahawa identiti individu yang dirujuk sebagai “Mr R” akan didedahkan sekiranya wang berkenaan tidak dipulangkan sebelum 30 Mac 2026.
Sehingga kini, identiti sebenar “Mr R” masih belum diketahui, namun Ramanan kekal dengan pendiriannya menafikan sebarang penglibatan dan menggesa pihak yang menuduh agar mengemukakan bukti yang sah. -KL Broadcast