KUALA LUMPUR — Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menyeru rakyat Malaysia agar mengambil langkah proaktif dengan menanam sendiri bahan makanan asas di rumah sebagai usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, beliau yang mesra dikenali sebagai “Bang Mat” berkata konflik geopolitik yang berlaku di Asia Barat ketika ini bukan sekadar isu luar negara, sebaliknya turut memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global.
Menurut beliau, walaupun kesannya mungkin tidak dirasai secara langsung oleh rakyat, gangguan terhadap rantaian bekalan antarabangsa berpotensi menjejaskan ketersediaan makanan dan harga di dalam negara.
“Dalam keadaan dunia hari ini, konflik geopolitik di Asia Barat bukan sekadar isu luar negara. Ia turut memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global. Kita mungkin tak nampak secara langsung, tapi impaknya boleh sampai ke meja makan kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan rakyat memanfaatkan ruang yang ada di kediaman masing-masing untuk bercucuk tanam, walaupun dalam skala kecil. Antara tanaman yang disarankan termasuk cili, sayur-sayuran dan ulam-ulaman yang boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.
“Kalau ada ruang walaupun kecil di rumah, tanamlah apa yang mampu. Sedikit sebanyak boleh bantu kurangkan kebergantungan dan dalam masa sama jadi satu usaha yang bermanfaat untuk keluarga,” tambah beliau.
Dalam masa sama, Mohamad Sabu menegaskan bahawa kerajaan akan terus memperkukuh sistem makanan negara bagi memastikan bekalan mencukupi serta akses rakyat sentiasa terjamin.
Katanya, usaha tersebut merupakan tanggungjawab berterusan kerajaan dalam menghadapi cabaran global yang semakin tidak menentu, termasuk ketegangan geopolitik dan perubahan iklim.
Beliau turut menekankan kepentingan peranan bersama antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan ketahanan sistem makanan negara kekal kukuh.
“Yang penting, kita sama-sama ambil peranan. Mulakan dengan apa yang ada. Insya-Allah, usaha kecil hari ini akan jadi kekuatan besar untuk masa depan,” katanya lagi.
Saranan itu dilihat selari dengan pendekatan memperkasakan komuniti dan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan sara diri, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan bekalan makanan global. -KL Broadcast