Kuala Lumpur – Malaysia kini sedang melaksanakan usaha untuk membawa keluar kapal minyak serta pekerja tempatan dari Selat Hormuz selepas Iran memberi kebenaran laluan berikutan ketegangan di kawasan perdagangan strategik tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan penghargaan kepada pihak Iran atas kerjasama yang diberikan, sekali gus mempermudah proses pengurusan aset negara di lokasi berkenaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia kini dalam proses mengeluarkan kapal minyak serta pekerja yang terlibat dari kawasan tersebut.

Perkara itu dinyatakan ketika beliau menyampaikan Perutusan Khas mengenai langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

Menurutnya, konflik dan sekatan di Selat Hormuz telah menjejaskan bekalan minyak dan gas dunia, yang turut memberi kesan kepada Malaysia.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding negara lain hasil keupayaan Petronas yang membantu mengekalkan kestabilan negara dalam situasi ketidaktentuan pasaran tenaga global.