PUTRAJAYA, 30 Mac (Bernama) — Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain hukuman penjara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata langkah itu selaras dengan pendirian kerajaan yang tidak akan berkompromi terhadap individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah kerana membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
Menurut Akta 333, individu yang memandu di bawah pengaruh sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000. Bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat iaitu penjara 15 hingga 20 tahun dan denda RM100,000 hingga RM150,000.
MOT turut menggesa Polis Diraja Malaysia mempercepat siasatan kes kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal di Klang supaya kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan.
Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki berusia 30-an maut selepas dilanggar pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah. Mangsa tercampak ke atas kenderaan lain dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
MOT turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan insiden itu sebagai kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima.
— BERNAMA