KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memaklumkan bahawa isu pembinaan sebuah kuil di atas sebahagian tanah miliknya akan dibawa ke perhatian Mesyuarat Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) Selangor.
Menurut kenyataan rasmi UKM, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan bersama Kerajaan Selangor, dan pihak universiti kini akan menunggu maklum balas serta tindakan lanjut daripada kerajaan negeri sebelum mengambil sebarang langkah seterusnya.
Dalam kenyataan sama, UKM menegaskan bahawa setiap tindakan perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan serta melibatkan pertimbangan pihak berkuasa berkaitan, termasuk Kerajaan Selangor. Pendekatan ini penting bagi memastikan penyelesaian yang dicapai adalah menyeluruh, berhemah dan tidak menimbulkan sensitiviti mana-mana pihak.
UKM turut menyatakan harapan agar isu ini dapat diselesaikan secara tuntas melalui pendekatan yang berhati-hati dan berperingkat, tanpa tindakan terburu-buru atau bersifat agresif.
Sehubungan itu, berdasarkan kenyataan berkenaan, UKM akan terus memantau perkembangan semasa dan bergantung kepada keputusan pihak berkuasa untuk menentukan langkah susulan.
Dalam masa sama, UKM menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kekeliruan atau ketegangan dalam kalangan masyarakat. -KL Broadcast