KUALA LUMPUR — Insiden tragis melibatkan seorang penunggang motosikal yang maut selepas dirempuh pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah semalam sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan jalan raya di negara ini.
Dalam satu kenyataan media, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata kejadian itu membuktikan keperluan mendesak untuk tindakan lebih tegas terhadap kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah (DUI).
Mangsa, Amirul Hafiz Omar, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Neow turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap keadilan dapat ditegakkan.
Menurut beliau, statistik dari tahun 2022 hingga Jun 2025 menunjukkan sebanyak 41 kematian direkodkan akibat kemalangan melibatkan pemandu DUI, selain turut menyebabkan kerosakan harta benda.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pengangkutan melaksanakan sepenuhnya Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) pindaan 2020, khususnya melibatkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah.
“Penguatkuasaan yang tegas bukan sahaja mampu mengurangkan kadar kemalangan, malah dapat mengelakkan tanggapan bahawa undang-undang negara tidak memberi keutamaan kepada keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keadilan perlu ditegakkan dan dilihat dilaksanakan agar menjadi pengajaran kepada masyarakat serta memberi isyarat jelas kepada bakal pesalah bahawa hukuman berat menanti mereka.
Dalam pada itu, Neow berkata kempen kesedaran awam perlu terus diperkasa, termasuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan e-hailing sebagai alternatif bagi mengelakkan pemanduan dalam keadaan tidak selamat. -KL Broadcast