KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menegaskan bahawa dakwaan mengenai kenaikan tarif elektrik bermula bulan ini adalah palsu dan mengelirukan.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan TNB hari ini, sebarang perubahan pada kos elektrik ketika ini tertakluk kepada Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), yang telah dilaksanakan sejak Julai 2025. Mekanisme ini mengambil kira turun naik harga bahan api global serta kadar pertukaran mata wang asing, dengan pelarasan dibuat setiap bulan dan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga.
Dalam masa sama, TNB memaklumkan akan mengambil tindakan dengan melaporkan penyebaran maklumat tidak tepat ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Pengguna disarankan mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi TNB. Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui Facebook TNB Careline, platform X @Tenaga_Nasional atau e-mel ke CareLine@myTNB.my