KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil terhadap pemilik akaun Facebook “N13 Kuang”, Mohd Fauzan Madzlan, berhubung dakwaan kononnya beliau menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor pada 2023, telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.
Peguam Fahri Azzat yang mewakili Fahmi memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian dan bersetuju dengan penghakiman persetujuan.
Perkara itu disahkan peguam Mohammed Zamri Ibrahim bagi pihak defendan. Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah kemudian merekodkan penghakiman persetujuan tersebut.
Semasa sidang media, peguam Asheeq Ali Sethi Alivi, turut mewakili Fahmi, berkata terdapat dua perkara penting yang dipersetujui dalam penghakiman persetujuan itu.
“Defendan menyatakan kesal terhadap hantaran Facebook bertarikh 31 Julai 2023 yang menjadi subjek kes ini.
Antara perkara utama yang dipersetujui ialah defendan mengakui bahawa ucapan YB Fahmi bukan ceramah politik dan tidak mengandungi unsur politik,” jelas beliau. -KL Broadcast