KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Rafizi Ramli menjangkakan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang menyusun langkah untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi Parlimen Pandan.

Menurut beliau, tindakan terbaru parti yang mengeluarkan surat tunjuk sebab kepadanya menunjukkan bahawa proses politik terhadap dirinya kini hampir ke penghujung.

Dalam Podcast YBM 43, Rafizi menjelaskan bahawa terdapat pergerakan tersusun yang melibatkan pelbagai peringkat kepimpinan parti, bermula daripada Ketua Cabang, diikuti pimpinan negeri, hingga ke peringkat tertinggi, yang didakwa dilihat cuba mendesaknya untuk melepaskan jawatan.

Katanya, apabila tindakan tersebut berlaku secara serentak, ia bukan satu kebetulan, sebaliknya menggambarkan keputusan politik yang telah dirancang.

Beliau turut menyifatkan situasi itu sebagai pengulangan budaya lama dalam politik dalaman parti.

Rafizi turut berpandangan bahawa PKR mungkin tidak akan memecatnya secara rasmi. Sebaliknya, parti dijangka menggunakan tafsiran terhadap kenyataan dan pendiriannya sebagai alasan bahawa beliau telah meninggalkan parti.

Beliau menjelaskan, sekiranya dipecat, beliau masih kekal sebagai Ahli Parlimen. Namun jika dianggap keluar parti, kesannya berbeza dan boleh membawa kepada kekosongan kerusi.

Tambahnya lagi, kehadiran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Pandan baru-baru ini dilihat sebagai petunjuk jelas bahawa parti sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan termasuk PRK.

Beliau juga menganggap pendekatan tersebut agak janggal dalam amalan politik parti, kerana seolah-olah cuba mengelak pemecatan rasmi semata-mata untuk membuka ruang kepada pengosongan kerusi Parlimen yang disandangnya. -KL Broadcast