SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dipercepatkan berikutan kejadian banjir yang berulang sebanyak tiga kali di kawasan terjejas.

Beliau berkata, projek yang sudah mempunyai kontrak perlu diteruskan segera tanpa sebarang penangguhan supaya langkah mengurangkan risiko banjir dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

Anwar berkata demikian ketika melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang, di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, sebanyak RM500 juta daripada peruntukan keseluruhan RM700 juta sudah diluluskan bagi membiayai pelbagai projek berkaitan tebatan banjir.

Antara langkah yang dirancang termasuk kerja memperluas sungai serta membina kolam tambahan bagi meningkatkan keupayaan sistem saliran dan mengurangkan risiko limpahan air.

Beliau turut meminta perkembangan pelaksanaan projek dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dijadual berlangsung Jumaat ini bagi memastikan tindakan susulan dapat diselaraskan.

Mengulas bantuan kepada mangsa yang mengalami kerosakan kediaman serius, Anwar berkata kerajaan akan meneliti kemungkinan menyediakan bantuan tambahan secara sekali beri.

Katanya, setiap kes akan dinilai berdasarkan tahap kerosakan dan keperluan mangsa sebelum jumlah bantuan serta pembahagian tanggungjawab antara kerajaan Persekutuan dan negeri diputuskan.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 45 minit bertemu dan menyantuni mangsa banjir daripada lapan keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.