KUALA NERUS – Isu tular mengenai kononnya Malaysia menghantar diesel ke Filipina sebenarnya berpunca daripada kekeliruan orang ramai terhadap operasi perkapalan di perairan Johor.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan, bekalan diesel tersebut bukan milik Malaysia dan tidak melibatkan Petronas atau syarikat tempatan. Sebaliknya, minyak itu dimiliki oleh syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Singapura, iaitu Vitol.
Menurut beliau, penjelasan daripada Petronas serta Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut mengesahkan perkara sama, di mana diesel tersebut hanya disimpan di kemudahan di Tanjung Pelepas sebelum dihantar ke Filipina.
Katanya lagi, kekeliruan timbul kerana dalam industri perkapalan, kapal yang berlepas dari perairan Johor sering dianggap sebagai berlepas dari Malaysia.
“Sedangkan hakikatnya, ia hanyalah urusan logistik, minyak itu bukan dari Malaysia tetapi milik syarikat luar yang menjualnya kepada Filipina,” jelas beliau.
Fahmi ditemui media dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini hari ini. -KL Broadcast