KUALA NERUS -Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka sebanyak 45 kertas siasatan berkaitan penyebaran berita palsu di media sosial, menurut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau memaklumkan bahawa semua kes tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut, sama ada dikenakan kompaun atau dibawa ke mahkamah. Bagi kesalahan menyebarkan berita palsu, pesalah boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000, manakala jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Fahmi turut menasihati orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat yang belum disahkan dan sentiasa menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya.
Selain itu, MCMC telah mengenal pasti sebanyak 386 kandungan palsu melibatkan pelbagai isu semasa, termasuk berkaitan bahan api, tarif elektrik, dakwaan bayaran tol kepada Iran serta fitnah mengenai penjualan minyak kepada Filipina. Semua kandungan tersebut telah diarahkan untuk diturunkan.
Kerjasama dengan pihak polis juga dilakukan bagi mengesan pemilik akaun terlibat dan merakam percakapan mereka sebagai sebahagian daripada siasatan. -KL Broadcast