KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mencadangkan pengisytiharan darurat menerima kecaman daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh.

Beliau berpendapat bahawa langkah sedemikian tidak wajar diambil hanya kerana keadaan ekonomi yang mencabar, memandangkan situasi seperti itu pernah berlaku dan masih boleh diurus tanpa perlu kepada tindakan luar biasa.

“Cadangan tersebut adalah bukti nyata ketidakmampuan pimpinan sedia ada. Bila Ahli Parlimen DAP cadang nak isytihar darurat, maknanya kamu yang sebenarnya tiada kebolehan dan kemampuan untuk mentadbir negara ini dengan baik!” tulisnya di laman facebook miliknya.

Dalam pada itu, Muhammad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau berpandangan bahawa jika kerajaan benar-benar sudah tiada jalan penyelesaian sehingga perlu mempertimbangkan darurat, maka rakyat mempunyai pilihan sendiri untuk menentukan hala tuju negara.

“Maka yang perlu rakyat isytihar adalah humban kamu dari menjadi kerajaan. Bodoh!!!” katanya.

Terdahulu, sebuah portal media melaporkan Poay Tiong mencadangkan agar kerajaan Melaka mengemukakan permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat sebagai langkah menangguhkan pilihan raya negeri.-KL Broadcast