KUALA LUMPUR — Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini menafikan sekeras-kerasnya penyebaran satu imej di media sosial yang didakwa memaparkan YB Datuk Seri Mohamad Sabu menggalakkan penjawat awam menanam ganja di rumah.

Menurut satu kenyataan rasmi, imej tersebut adalah palsu dan merupakan hasil manipulasi digital yang boleh mengelirukan orang awam. Mohamad Sabu tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang didakwa.

Sehubungan itu, satu laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan siasatan dijalankan serta tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran kandungan berkenaan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan sentiasa merujuk kepada saluran rasmi kerajaan bagi mendapatkan berita yang tepat dan dipercayai. -KL Broadcast