KUALA LUMPUR – Seorang anggota tentera ditahan selepas dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kemalangan maut di Lebuhraya MEX, awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 5.38 pagi itu, sebuah Ford Fiesta yang dipandu lelaki berusia 31 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Perodua Alza yang digunakan untuk perkhidmatan e-hailing.

Kenderaan tersebut dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun bersama dua penumpang warga Bangladesh yang baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Impak pelanggaran menyebabkan seorang penumpang lelaki berusia 22 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Seorang lagi penumpang wanita berusia 20 tahun cedera dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Pemandu MPV turut mengalami kecederaan di kepala, manakala pemandu Ford Fiesta hanya cedera ringan. Turut cedera ialah seorang wanita tempatan berusia 36 tahun yang berada dalam kereta tersebut.

Hasil ujian mendapati pemandu Ford Fiesta itu berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan, namun saringan air kencing tidak menemui sebarang unsur dadah.

Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020), iaitu kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu dengan menghubungi pihak polis.